Sunday 18 December 2011

Raksasa donut

Hari ni aku buat donut. Ini adalah kali kedua. Kali pertama donut aku keras dan agak 'kurus'. Kali ni nampaknya menjadi. Donut aku bulat, gemuk dan paling best, besar. Satu pinggan muat satu donut saje. Hehe..seronoknya. Jangan disebabkan makan donut tu aku jadi gemuk dan bulat macam donut sudahlah...

Lepas ni nak belajar buat hiasan atas donut pulak lah. Hmmm anak aku yang kedua suka coklat. So boleh lah letak coklat pulak.

Sunday 4 December 2011

Journals oh journals

Aku dah hantar draf ke 3 tesis ke supervisor. Supervisor aku kata dia dah appoint external dan internal examiner. Berdebar jantungku. Siapalah agaknya examiners tu semua ye. Hmmm...lupa pulak nak beritahu yang permohonanku untuk extend dah diluluskan oleh Kementerian. So, dapatlah aku siapkan tesis dan viva dulu sebelum balik UPSI.

Sekarang aku sibuk menghantar paper ke journals. Satu paper yang aku hantar ke journal Hindawi telah ditolak. So, paper itu aku hantar ke journal Emerald. Plan nak present paper di conference di UAE. Acceptance letter dah dapat. Hari ni nak telefon Kementerian, macam mana procedure untuk memohon sponsorship. Kalau tak dapat at least 70% sponsorship dari Kementerian, nampaknya kena batalkan le plan nak ke UAE nih. Hehe...sebenarnya terasa gugup juga nak present paper di conference luar negara. Aduih...English tak berapa pandai, tapi buat-buat berani je semata-mata nak carik pengalaman baru, eceh. Harap-harap dapatla pergi confernce tuh.

Wednesday 12 October 2011

Draf kedua

Aku telah siap menulis draf kedua tesis dan submit ke supervisor. Sekarang masa yang terluang boleh diisi dengan keluarga. Aku risau kerana masih belum tahu bagaimana status permohonan pelanjutan phd ku kini. Sebelum ini, UPSI telah memberi jawapan bahawa permohonanku diluluskan di peringkat universiti. Masalah yang timbul ialah tidak dapat kelulusan KPT kerana menghantar permohonan terlalu awal. Sepatutnya, borang permohonan harus tiba di KPT 3 bulan sebelum tamat pengajian.

Semester belum sampai ke penghujung sedangkan aku perlu mula bekerja. Semester ini habis pada bulan februari tahun hadapan. Aku pula sepatutnya tamat pengajian dan mula bekerja pada disember tahun ini. Sebab itulah, pelanjutan pengajian itu perlu dibuat.

Aku bercadang untuk submit tesis ke Pengajian Siswazah paling lewat pada bulan Mac tahun depan. Harap semuanya berjalan lancar.

Saturday 27 August 2011

Esok balik kampung

Esok balik kampung suamiku di Perak utk menyambut hari raya di sana. Kami bercadang untuk bertolak awal-awal pagi bagi mengelakkan 'jam' yang mungkin berlaku di jalan raya. Malangnya, anak-anakku tak mau tidur, main saja sampai pukul 12 malam. Dengan hati yang sebal, aku melayan kerenah mereka sehingga pada satu tahap, aku menjerit memarahi mereka. Aku suruh tidur kerena esok mahu bangun awal. Mereka sungguh lasak bermain terutama anakku yang bongsu. Dia sedang belajar berjalan. Kalau panas, dia akan merengek-merengek. Serba tak kena. Malam ini cuaca panas, jadi anakku yang bongsu meragam. Apabila dia sudah terasa sejuk, baru dia berhenti meragam. Cuaca menjadi sejuk hanya apabila jam mencecah 11 malam ke atas, maka terpaksalah aku melayan sehingga perasaan sebalku tak terucapkan lagi.


Sunday 14 August 2011

Buffet berbuka puasa

Sekarang bulan Ramadhan. Pelbagai restoran menawarkan menu untuk buffet berbuka puasa. Terasa ingin pergi tapi risau takut lari budget. Aku berbuka puasa makan sikit saja. Bukan tak mahu makan banyak, tapi memang tak boleh nak masuk perut lagi. Mungkin umurku sudah lanjut, jadi makan sikit pun sudah kenyang. Berikut adalah beberapa restoran di Bangi yang menawarkan buffet berbuka:
1) Restoran Oasis
2) Sekinchan ikan bakar
3) JM Bariani House
4) Rimba Klasik

InsyaAllah kalau ada kelapangan dan budget yang cukup, aku dan keluarga berhasrat ke mana-mana satu restoran tersebut untuk berbuka. Ubah selera lah sekali-sekala.


Sunday 31 July 2011

Pengalaman Phd (sambungan)

Daripada pembacaan, aku dapat mengajukan suatu idea kepada penyelia dan beliau bersetuju. Maka, penyelidikan dapat diteruskan. Aku menarik nafas lega. Pada akhir semester aku membentang hasil penyelidikanku dalam satu seminar di universiti. Ketika ini aku hamil dan dijangka bersalin pada semester keempat nanti.

Semester keempat menjenguk. Aku bertungkus lumus lagi. Ini kerana aku perlu membentang hasil penyelidikan yang baru pada akhir semester sedangkan aku sudah begitu sarat mengandung. Sebaik sebelum bersalin, aku dapat satu hasil penyelidikan. Alhamdulillah. Habis pantang 44 hari, aku segera menyambung kerja penyelidikan. Sangat susah pada mulanya. Membaca sedikit sudah membuatkan aku mengantuk. Dengan dorongan suami dan motivasi dari seorang rakan, aku teruskan juga sedikit demi sedikit.

Aku mula menulis pada semester kelima. Penyelidikan yang aku jalankan belum lagi habis, bermakna aku buat dua kerja secara berselang-selang. Apabila aku bosan menulis, aku akan membuat penyelidikan. Apabila aku penat membuat penyelidikan, aku akan menulis.

Pengalaman Phd (sambungan)

Di sini aku ingin berkongsi pengalamanku sepanjang menjadi pelajar PhD di sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Sebaik selepas sah menjadi pelajar PhD, aku ke fakulti untuk berjumpa penyelia. Beliau meminta aku membuat tinjauan perpustakaan tentang beberapa topik penyelidikan. Selain itu aku juga perlu mengambil beberapa kerja kursus/subjek. Jadi, pada semester pertama ini, aku sangat sibuk. Waktu 24 jam bermanfaat sepenuhnya untuk membuat tugasan, membuat persiapan menghadapi ujian, mencari bahan dan membuat penyelidikan. Pada akhir semester, aku membentang cadangan penyelidikan di jabatan. Cadangan penyelidikan tersebut dibuat mengikut saranan penyeliaku.

Semester kedua bermula. Aku bertungkus lumus membuat penyelidikan pada dua bulan pertama. Ini kerana pembantu rumahku akan pulang ke kampung selama dua bulan untuk puasa dan berhari raya dengan keluarganya. Aku tidak mempunyai pilihan lain melainkan menjaga sendiri kedua-dua orang anakku. Mujur aku mengambil satu kerja kursus sahaja. Untuk kerja kursus tersebut, aku hanya perlu membentang hasil penyelidikan di akhir semester. Sepanjang semester aku sibuk dengan rumah tangga. Apabila anak-anak sudah tidur barulah aku boleh membuat sedikit kerja penyelidikan.

Pada semester ketiga, penyelidikanku berhenti di tengah jalan kerana kebuntuan idea. Aku agak panik tetapi aku tabahkan hati. Aku mencari dan membaca banyak bahan literatur untuk mendapat idea.

Saturday 30 July 2011

Pengalaman Phd

Sudah hampir tiga tahun pengajian phd ku. Sudah begitu lama kurasakan. Terasa seperti sudah lima tahun. Sebenarnya aku penat. Pembelajaran telah membuatkan aku keletihan yang teramat. Kini, sesudah menghantar draf pertama kepada penyelia untuk disemak, barulah aku boleh berehat dengan nyaman. Beberapa hari yang lepas, aku pergi ke salon memanjakan diri. Tidak lupa juga ke tempat cuci kereta untuk membelai satu-satunya kereta kesayangan yang sudah lama tak dicuci. Sebelum ini bukannya aku malas hendak cuci, tetapi aku terlalu banyak berfikir tentang pembelajaran phd dan hal-hal lain sehingga aku merasakan mencuci kereta itu suatu aktiviti yang membuang masa.

Nah, sekaranglah masanya untuk aku mencari hobi. Aku tiada hobi yang khusus kerana cepat bosan kalau membuat perkara yang sama berulang-ulang. Setiap kali buat sesuatu perkara yang aku suka, tidak lama kemudian, aku akan cari perkara lain yang aku suka juga. Membuat blog antara perkara yang aku suka sejak lama dahulu. Baru hari ini dapat direalisasikan.