Sunday 31 July 2011

Pengalaman Phd (sambungan)

Daripada pembacaan, aku dapat mengajukan suatu idea kepada penyelia dan beliau bersetuju. Maka, penyelidikan dapat diteruskan. Aku menarik nafas lega. Pada akhir semester aku membentang hasil penyelidikanku dalam satu seminar di universiti. Ketika ini aku hamil dan dijangka bersalin pada semester keempat nanti.

Semester keempat menjenguk. Aku bertungkus lumus lagi. Ini kerana aku perlu membentang hasil penyelidikan yang baru pada akhir semester sedangkan aku sudah begitu sarat mengandung. Sebaik sebelum bersalin, aku dapat satu hasil penyelidikan. Alhamdulillah. Habis pantang 44 hari, aku segera menyambung kerja penyelidikan. Sangat susah pada mulanya. Membaca sedikit sudah membuatkan aku mengantuk. Dengan dorongan suami dan motivasi dari seorang rakan, aku teruskan juga sedikit demi sedikit.

Aku mula menulis pada semester kelima. Penyelidikan yang aku jalankan belum lagi habis, bermakna aku buat dua kerja secara berselang-selang. Apabila aku bosan menulis, aku akan membuat penyelidikan. Apabila aku penat membuat penyelidikan, aku akan menulis.

Pengalaman Phd (sambungan)

Di sini aku ingin berkongsi pengalamanku sepanjang menjadi pelajar PhD di sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Sebaik selepas sah menjadi pelajar PhD, aku ke fakulti untuk berjumpa penyelia. Beliau meminta aku membuat tinjauan perpustakaan tentang beberapa topik penyelidikan. Selain itu aku juga perlu mengambil beberapa kerja kursus/subjek. Jadi, pada semester pertama ini, aku sangat sibuk. Waktu 24 jam bermanfaat sepenuhnya untuk membuat tugasan, membuat persiapan menghadapi ujian, mencari bahan dan membuat penyelidikan. Pada akhir semester, aku membentang cadangan penyelidikan di jabatan. Cadangan penyelidikan tersebut dibuat mengikut saranan penyeliaku.

Semester kedua bermula. Aku bertungkus lumus membuat penyelidikan pada dua bulan pertama. Ini kerana pembantu rumahku akan pulang ke kampung selama dua bulan untuk puasa dan berhari raya dengan keluarganya. Aku tidak mempunyai pilihan lain melainkan menjaga sendiri kedua-dua orang anakku. Mujur aku mengambil satu kerja kursus sahaja. Untuk kerja kursus tersebut, aku hanya perlu membentang hasil penyelidikan di akhir semester. Sepanjang semester aku sibuk dengan rumah tangga. Apabila anak-anak sudah tidur barulah aku boleh membuat sedikit kerja penyelidikan.

Pada semester ketiga, penyelidikanku berhenti di tengah jalan kerana kebuntuan idea. Aku agak panik tetapi aku tabahkan hati. Aku mencari dan membaca banyak bahan literatur untuk mendapat idea.

Saturday 30 July 2011

Pengalaman Phd

Sudah hampir tiga tahun pengajian phd ku. Sudah begitu lama kurasakan. Terasa seperti sudah lima tahun. Sebenarnya aku penat. Pembelajaran telah membuatkan aku keletihan yang teramat. Kini, sesudah menghantar draf pertama kepada penyelia untuk disemak, barulah aku boleh berehat dengan nyaman. Beberapa hari yang lepas, aku pergi ke salon memanjakan diri. Tidak lupa juga ke tempat cuci kereta untuk membelai satu-satunya kereta kesayangan yang sudah lama tak dicuci. Sebelum ini bukannya aku malas hendak cuci, tetapi aku terlalu banyak berfikir tentang pembelajaran phd dan hal-hal lain sehingga aku merasakan mencuci kereta itu suatu aktiviti yang membuang masa.

Nah, sekaranglah masanya untuk aku mencari hobi. Aku tiada hobi yang khusus kerana cepat bosan kalau membuat perkara yang sama berulang-ulang. Setiap kali buat sesuatu perkara yang aku suka, tidak lama kemudian, aku akan cari perkara lain yang aku suka juga. Membuat blog antara perkara yang aku suka sejak lama dahulu. Baru hari ini dapat direalisasikan.